Blog Impian Anggun

Anda makan kerana lapar atau ikut nafsu?
Ditulis oleh: pctmin / February 11, 2015
makan

Rasa lapar adalah situasi di mana rendahnya tahap glukosa dalam darah dan badan memerlukan makanan. Sementara itu nafsu makan pula merupakan keinginan untuk makan di sebabkan tindak balas fisiologi yakni tidak tahan melihat hidangan makanan yang lazat, menghidu aroma makanan dan lain-lain lagi.

Jadi, sekiranya anda selalu makan ikut nafsu dan bukan kerana lapar, mestilah anda cuba menyekat atau mengawal nafsu makan! Cubalah kawal nafsu makan dengan kaedah-kaedah berikut yang dapat membantu menjaga kesihatan dan mengekalkan bentuk badan:

1) Makan sarapan pada waktu ditetapkan
Bahan-bahan protein, lemak dan karbohidrat yang lengkap di dalam sarapan sebenarnya membantu anda berasa kenyang dan mengurangkan pengambilan makanan semasa makan tengah hari atau makan malam. Justerunya, pilihlah menu sarapan sekurang-kurangnya 250 kalori seperti buah-buahan, yogurt, bijirin, susu soya dan roti.

2) Ambil serat setiap hari
Pengambilan serat berupaya membantu merasa cepat kenyang dan tahan lebih lama. Semuanya gara-gara tubuh yang memproses makanan berserat pada kadar yang lama agar anda merasa kenyang dalam jangka masa yang panjang. Anda hanya memerlukan jumlah serat anggaran 25 gram sehari sama ada di dalam buah-buahan atau sayur-sayuran.

3) Minum air putih yang secukupnya
Ramai di antara kita yang tidak dapat membezakan antara rasa lapar dengan dehidrasi. Adakalanya anda merasakan perut kosong dan menganggapnya sebagai rasa lapar, kemudian mengambil makanan yang sebenarnya tidak diperlukan oleh tubuh. Untuk mengatasinya, anda harus minum 8 gelas air putih sehari agar anda kekal hidrat!

4) Mendapatkan tidur yang secukupnya
Kajian menunjukkan bahawa masa tidur yang tidak mencukupi boleh meningkatkan keinginan terhadap gula. Jika anda tak cukup tidur, tubuh anda akan menghasilkan banyak hormon ghrelin yang bagi signal “saya lapar ni, nak makan!” Jadi, dapatkan tidur selama 8 jam setiap hari agar nafsu makan anda terkawal!

5) Katakan TIDAK!
Antara cara yang terbaik mengawal nafsu atau keinginan adalah mengawal diri sendiri. Anda perlu kuat, komited dan berani mengatakan “TIDAK”. Ini adalah kerana minda mengawal tubuh badan anda, jadi kawallah minda anda sebaik-baiknya untuk mengawal nafsu makan. Ingat, selalu katakan “tidak” sekiranya teringin makan makanan ringan atau makanan kegemaran!